Pesanan bulan Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد؛ 

Kullu 'Am Wa Antum Bikhairin dari saya untuk pengunjung blog ini.

Bulan Zulhijjah menjelma lagi. Bulan di mana akan berlakunya hari Raya Eidul Adha dan lebih kurang 2 juta umat Islam akan berada di tanah suci Makkah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Setelah Ramadhan yang penuh barakah meninggalkan kita, datangnya Zulhijjah bagi memberi ruang dan peluang untuk di isi bekalan kita di dunia dan mengejar ganjaran kebaikan serta pahala berganda dari yang Maha Esa. Sebagai umat Islam yang prihatin dengan agamanya, kita harus bersyukur Allah masih memberi kita peluang dan kekuatan serta umur untuk menambah amalan yang mana kebaikan itu adalah untuk diri sendiri juga.

Bagi mereka yang tidak menunaikan haji di tanah suci, kita amat digalakkan untuk melakukan ibadah korban dan pelbagai amalan ikhlas semata-mata kerana Allah. Inilah bulan kedua yang penuh ganjaran dan rahmat daripadaNya. Peluang untuk bertemu Ramadhan dan Zulhijjah pada masa akan datang hanya Pencipa yang mengatahuinya. Tidak semua di antara kita mampu melakukannya. Sibuk dengan kerja harian sehingga lupa untuk memperuntukkan masa untuk melakukan 'bekalan' di alam yang kekal abadi.



Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :


" Demi fajar. dan hari yang sepuluh.."

( Surah Al-Fajr : 1-2 )

Ibnu Kathir menyebut :

" yang dimaksudkan hari yang sepuluh itu adalah sepuluh awal Zulhijjah.."

Firman Allah lagi :

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" 

(Al-Hajj : 32) 



 Amalan para ulama terdahulu

Mereka ( rahimahummullah ) amat menjaga dan membesarkan tiga amalan iaitu :

- sepuluh awal Zulhijjah
- sepuluh akhir Ramadhan
- sepuluh awal Muharam

Kata Ibnu Hajar ( rahimahullah ) di dalam Fathul Bari :
" Dan yang amat menonjol kehebatan sepuluh awal Zulhijjah ialah kerana berkumpulnya kesemua ibadat-ibadat utama di dalamnya seperti solat, puasa, sedeqah dan haji yang mana tidak ada pada hari yang lain."

Imam Ibnu Taimiyyah pernah ditanya tentang sepuluh awal Zulhijjah dan sepuluh akhir Ramadhan yang manakah lebih afdhal? Lalu Beliau menjawab

" Sepuluh awal Zulhijjah lebih baik dari sepuluh awal Ramadhan. Dan sepuluh akhir Ramadhan lebih baik dari Sepuluh akhir Zulhijjah."

Ulama terdahulu juga apabila masuknya sepuluh awal Zulhijjah, mereka akan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadah dengan tekun.

 Wasiat Sepuluh awal Zulhijjah

1. Memperbanyakkan amalan kebaikan sebelum berakhirnya hari-hari mulia ini.

Hadis Ibnu Abbas menyebut. sabda Nabi SAW :

" Tidak ada hari-hari di mana amal soleh itu lebih disukai oleh Allah daripada hari yg sepuluh ini."

( hadis riwayat Tirmizi. disahihkan oleh Albani. )

Ini membuktikan bahawa Allah lebih menyukai amalan yang dibuat pada hari tersebut. Betapa besar rahmat Allah diturunkan untuk umat Muhammad. Allahuakbar !

Justeru itu, amat banyak perkara baik dapat dilakukan pada hari-hari yang hebat ini. Seperti berpuasa, berzikir, berkorban sembelihan, berbuat baik kepada ibubapa, mengeratkan sillaturrahim, membaca Al-Quran dan sebaginya. Semua itu akan mendapat ganjaran pahala yang amat hebat daripada Allah berbanding di hari-hari yang lain!

2. Hendaklah kita mengamalkan sunnah-sunnah Nabi dan para sahabat pada hari-hari yang penuh barakah ini. Sesungguhnya amalan yang mengikut sunnah adalah lebih baik dan besar nilainya daripada mukhalafah sunnah. Demikian juga kita hendaklah sentiasa mengikut apa yang diperintah Allah dan Rasulnya. Sebagai contoh jika di antara kita ingin melakukan ibadah korban hendak dia menahan dirinya daripada memotong rambut dan kuku sehinggalah selesai ibadah tersebut.

Sabda Nabi SAW : 

" Apabila kamu semua nampak anak bulan Zulhijjah dan kamu ingin berkorban maka tahanlah (jangan memotong ) rambutmu dan kukumu."
( hadis riwayat Muslim )

Firman Allah yang bermaksud :

" Itulah yang wajib dipatuhi dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. "
( Surah Al-Hajj : 30 )

FirmanNya lagi :
" Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. "
( Surah Al-Hajj : 32 )

3. Bersegera dalam melakukan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji.

Firman Allah yang bermaksud :

" Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk." 
( Surah Ali Imran : 97 )

Dengan rahmat dan kemudahan Allah kepada kita ibadah haji hanya perlu dilakukan hanya sekali seumur hidup.

Sepertimana Sabda Nabi :

" Haji itu hanya sekali. Sesiapa melebihinya maka ianya sunat "
( disahihkan oleh Albani )

Mudah-mudahan kita semua akan diberkati Allah di bulan ini. Ianya terpulang kepada kita untuk melakukannya atau tidak. Segala kebaikan telah di sebut oleh nabi, sahabat dan para ulama. Tepuk dada tanyalah iman.
 
Wallahua'lam.
Sekian, wassalam.




Zakaria Md Yusoff

0 comments:

About this blog