Selamat Datang

Moga Allah rahmati kita semua.

Hadith'

Nabi Muhammad SAW apabila ingin baring atau tidur, Baginda akan meletakkan tangan kanan di bawah pipinya sambil berkata " Ya Allah hindarilah aku daripada azabMu di hari Kau membangkitkan hamba-hambaMu."

Inside of Blue Mosque

The Blue Mosque (Called Sultanahmet Camii in Turkish) is an historical mosque in Istanbul. The mosque is known as the Blue Mosque because of blue tiles surrounding the walls of interior design.Mosque was built between 1609 and 1616 years, during the rule of Ahmed I.

Doa Nabi Muhammad SAW

Himpunan doa-doa terbaik .

Surah Al Kafirun

Bacaan apabila hendak masuk tidur.

Seperti Ayam Mematuk Padi!



Hadith :
Anas r.a bercerita katanya:” Nabi SAW pernah memendekkan solat beliau, tetapi beliau melakukannya dengan sempurna.”

(Bukhari)



Huraian
Ketika solat, selain melibatkan gerakan fizikal, ia juga melibatkan roh kita. Roh inilah yang sebenarnya diperlukan dalam solat kerana ketika itulah ia kembali menemui Tuhannya. Manakala fizikal kita hanyalah sebagai pengantara. Sedangkan rohlah yang menghayati bacaan tersebut. Justeru orang yang memahami tujuan solat yang sebenar tentunya mahukan solatnya itu berjalan dengan tenang, santai dan ada toma’ninah. Bukan solat seperti ribut atau laksana ayam mematuk padi sehingga roh selalu tertinggal ke belakang. Dengan perkataan lain, mulut kita secara spontan membaca bacaan, namun fikiran kita melayang entah ke mana. Tiba-tiba solat kita telah pun siap dan kita pun memberikan salam. Hakikatnya bersolat adalah masa untuk kita berdialog dengan Allah secara langsung. Kita sebenarnya diberi kesempatan untuk mengadu. Maka sewaktu solat adukanlah semua persoalan kita kepada Allah. Roh kita akan dapat merasakannya Contohnya hati kita terasa sebak dan air mata akan menitis dengan sendirinya. Namun jika kita bersolat secara cepat dan terkocoh-kocoh mungkin roh tidak sempat menikmati pertemuan dengan Allah ini. Kita akan merasakan bahawa solat itu satu bebanan yang menyusahkan sekali gus menjadikan kita bersolat secara terpaksa!

zakaria

Dunia Sebagai Tempat Berdagang




Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang dinegeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan. “Ibnu Umar r.a. berkata,” Jika kamu berada diwaktu petang janganlah kamu tangguh diwaktu pagi dan jika kamu berada diwaktu pagi janganlah kamu tangguh diwaktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada didalam keadaan sihat, sebagai persediaan diwaktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati”.

al-Bukhari



Huraian
1. Umat Islam dikehendaki segera melakukan amal kebajikan semasa hidup didunia ini dan dunia umpama tempat berdagang untuk menuju ke satu destinasi lain (akhirat).
2. Islam menyuruh umatnya supaya melakukan ibadat dan amal-amal kebajikan dengan sebanyak-banyaknya di waktu muda dan ketika sihat sebagai bekalan hari tua dan bekalan akhirat.
3. Islam melarang umatnya yang suka menangguh-nangguh amalan kebajikan dan ibadat kerana sifat demikian merugikan diri seseorang.

zakaria

Taubat



Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.”


Riwayat Bukhari & Muslim



Huraian
Pengajaran hadis:
i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.
ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.
iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.
b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T.
c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa.
d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.
e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.


zakaria

Adab Dalam Meminang

Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, Nabi SAW bersabda:”Jangan kamu beli barang yang sedang ditawar oleh saudaramu; jangan kamu pinang wanita yang sedang dipinang saudaramu, melainkan apabila telah diizinkannya.”


(Muslim)



Huraian
1. Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj (Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu).
2. Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat / perundangan-perundangan dalam Islam. Hikmahnya adalah untuk memberi peluang untuk berkenalan dengan pasangan masing-masing sebelum bernikah atau berkahwin.
3. Hukum khitbah adalah "harus" tetapi mengikut Imam As-Syafie (sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah "al-istihbab / sunat". Dan Dr. Abd. Karim Zaidan (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat iaitu lebih aula utama dari hukum harus tadi.
4. Khitbah adalah dilarang bagi seseorang wanita yang telah dipinang oleh orang lain. Begitu juga dilarang membeli barang yang sedang dalam urusan jual beli orang lain. Hal ini adalah untuk menjaga kehormatan dan mengelak daripada berlaku perebutan dan pergaduhan selain daripada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.


zakaria

Hormatilah Ibu Sekalipun Berlainan Agama

Hadith :
Dari Asma’ binti Abu Bakar r.a katanya:”Ketika terjadi genjatan senjata dengan kaum Quraisy, ibuku yang ketika itu masih musyrik datang kepadaku. Lalu aku meminta izin Rasulullah SAW dengan berkata:”Ya Rasulullah! Ibuku datang kerana beliau rindu padaku. Bolehkah aku menemuinya?”Jawab Rasulullah SAW,”Ya boleh! Berjumpalah dengan ibumu.”

(Muslim)



Huraian
1. Di dalam Islam SUAMI dan IBU mempunyai kuasa yang besar. Kuasa suami ke atas isteri dan kuasa ibu ke atas anak-anak. Seseorang itu akan dimurkai Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi.
2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Syurga itu di bawah tapak kaki ibu". Oleh itu anak-anak harus menumpahkan kasih sayang kepada orang tua mereka sekalipun mereka kafir dan ingkar terhadap Allah. Hal ini disebabkan ibu bapa adalah berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak.
3. Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka yang beragama Islam dalam urusan hidup yang tidak bertentangan dengan Islam. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar tetapi haruslah menasihati mereka dengan baik dan sopan.
zakaria

Diharuskan Menangis Kepada Orang Yang Meninggal Dunia

Hadith :
Daripada ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas’ud r.a, kemudian Rasulullah s.a.w. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, “Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya”.

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
1. Bersedih dan menangis kerana kematian seseorang yang dikasihi diharuskan oleh syarak dengan syarat ia tidak melampaui batas seperti meratapi serta meraung-raung dan sebagainya.
2. Penyeksaan atau rahmat terhadap orang mati bergantung kepada amalan lidah orang yang masih hidup di mana apabila lidah tersebut digunakan untuk memperkatakan kebaikan si mati ia akan mendatangkan kebaikan kepada si mati.
3. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk memperkatakan kejahatan si mati atau memperkatakan kebaikan tetapi dengan cara yang tidak beradab ia akan mendatangkan keburukkan kepada si mati.

zakaria

Pelunasan Hak Di Padang Mahsyar

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a katanya:”Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:”Sesungguhnya sebarang hak tak dapat tidak mesti dibayar kepada tuannya sehingga kambing biri-biri yang dogol (tidak bertanduk) diberikan peluang membalas kambing biri-biri yang bertanduk” ‘Iaitu menanduknya’ mengikut satu riwayat.”

Muslim dan at-Tirmidzi



Huraian
1.Beriman kepada Hari Kiamat adalah antara perkara yang
termasuk di dalam rukun Iman dan wajib diyakini sepenuhnya oleh
setiap Muslim.

2.Perbicaraan yang berlaku pada hari kiamat adalah menyentuh
tentang semua aspek kehidupan makhluk semasa di dunia termasuk
perkara-perkara berkenaan hak yang meliputi:

i. Perkara yang bersabit dengan perlakuan jenayah ke atas
nyawa dan tubuh badan seperti bunuh-membunuh, tikam-
menikam, pukul memukul, siksa menyiksa dan sebagainya.
ii. Perkara yang bersabit dengan perlakuan jenayah yang
mencemar kehormatan diri dan maruah seseorang seperti caci
mencaci, memaki hamun, mengumpat, tuduh-menuduh dan
sebagainya.
iii. Perkara yang bersabit dengan harta benda seperti mencuri,
merompak, menipu, hutang-piutang dan seumpamanya.

3.Oleh itu bagi sesiapa yang mempunyai kesalah-kesalahan yang
disebutkan akan menerima pembalasan yang seadilnya daripada
Allah SWT. Antara balasannya adalah:
i. Menerima balasan daripada makhluk yang diperlakukan jenayah
terhadapnya.
ii. Memberikan amal kebajikan kepada orang yang dianiayakan
untuk membayar hutang orang yang dihutanginya atau memberi
gantirugi dan sekiranya tiada lagi saki baki amalan yang
tinggal untuk diberikan maka seseorang itu akan terpaksa
menanggung hutang kesalahan orang yang dikhianati itu.
iii. Dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.

4.Sebagai mukmin yang beriman kita hendaklah sentiasa berwaspada
dalam setiap tindak tanduk di dunia dan sentiasa bermuhasabah,
bertaubat memohon keampunan agar apabila meninggal kelak kita
tidak termasuk di kalangan orang yang rugi.
zakaria

Khairun Nisa’

Hadith :
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :”Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.”

Riwayat Muslim



Huraian
Seorang isteri melihat kebahagiaan sebagai matlamat unggul dalam kehidupan berkeluarga. Ia tidak boleh diukur tetapi dapat dirasai. Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya. Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: "Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."(Surah an-Nisaa' ayat 34).
Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam. Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa. Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis. Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga. Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing. Mudah-mudahan jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan rumah tangga pada hari ini dapat dijawab.
(Sumber: Himpunan Hadis-hadis Sahih/ Sahih al-Jami’ as-Saghir 3299, Silsilatul-Ahadith as-Sahihati 1838)
zakaria

Di Atas Hamparan Sejadah



Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya."

Abu Huraiarah r.a



Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T.
ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya.
iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.
zakaria

Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis

Hadith :
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “ “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat.”

Riwayat al-Bukhari



Huraian
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya. Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Allah Melaknat Orang Yang Makan Riba

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya.”


Riwayat Ahmad dan Abu Daud



Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Mencari rezeki merupakan sebahagian daripada ibadah. Begitu juga sebaliknya. Agihan kekayaan yang tidak seimbang akan menjadi punca terjadinya segala jenayah berbentuk korupsi.
ii) Di antara rezeki yang haram menurut pandangan Islam ialah rasuah, makan harta anak yatim tanpa hak, mencari rezeki dengan meminta-minta, riba, perdagangan benda yang memabukkan, perjudian, penipuan dalam timbangan, menjual barang rosak dan barang tiruan.
iii) Riba yang dari segi istilah bermaksud ‘az ziadah’ (tambahan) iaitu tambahan di atas modal sama ada sedikit atau pun banyak (beban bunga) di mana ia adalah termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar kerana ia merupakan pemerasan orang kaya terhadap orang miskin yang membuatkan orang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah melarat.
iv) Pemakan riba akan mendapat hukuman yang berat sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :“Orang memakan riba atau mengambilnya, ia tidak dapat berdiri (hidup) melainkan keadaan seperti orang yang dirasuk syaitan atau macam orang gila (kehilangan akal)” al-Baqarah : 275) Dalam surah dan ayat yang sama juga selanjutnya Allah berfirman bahawa orang yang mengulangi memakan riba setelah ia mengetahui hukumnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.
v) Semasa peristiwa Isra' dan Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ditunjukkan bagaimana seorang yang berenang dalam sungai darah. Setiap kali orang berkenaan menghampiri tebing, dia telah dilontar dengan batu. Penjelasan yang diberikan oleh malaikat ialah orang ini sewaktu di dunia adalah pemakan riba.
vi) Sistem riba adalah sistem yang buruk dari segi ekonomi. Oleh itu untuk menghindari dari kemungkinan terlibat ke dalam riba yang dilarang oleh Islam, (walaupun batas-batas yang dianggap riba masih diperselisihkan di kalangan para ulama) jalan yang paling selamat adalah melakukan muamalah berdasarkan ajaran lslam sama ada secara mudharabah, musyarakah, murabahah atau wadi'ah.
vii) Riba lawannya sedekah kerana sedekah merupakan kerelaan memberikan harta benda tanpa mengharapkan imbalan dan balasan. Sedangkan riba, ia menuntut kembali wang yang dipinjamkannya bersekali dengan bunganya yang dikaut daripada penat jerih orang yang meminjamnya.

About this blog