Selamat Datang

Moga Allah rahmati kita semua.

Hadith'

Nabi Muhammad SAW apabila ingin baring atau tidur, Baginda akan meletakkan tangan kanan di bawah pipinya sambil berkata " Ya Allah hindarilah aku daripada azabMu di hari Kau membangkitkan hamba-hambaMu."

Inside of Blue Mosque

The Blue Mosque (Called Sultanahmet Camii in Turkish) is an historical mosque in Istanbul. The mosque is known as the Blue Mosque because of blue tiles surrounding the walls of interior design.Mosque was built between 1609 and 1616 years, during the rule of Ahmed I.

Doa Nabi Muhammad SAW

Himpunan doa-doa terbaik .

Surah Al Kafirun

Bacaan apabila hendak masuk tidur.

Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim



Hadith :
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.”

(Muslim)



Huraian
Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:
i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.
ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.
iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

zakaria


Ihsan dalam Penyembelihan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan di atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhan. Dan apabila menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan sembelihan.”

Riwayat Muslim



Huraian
i) Seorang Islam hendaklah menjadi seorang yang muhsin iaitu seorang yang dalam pekerjaannya sentiasa baik dan elok, tidak kasar dan tergopoh-gapah.
ii) Ihsan juga dituntut terhadap binatang iaitu tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan atau menyiksa binatang termasuklah ketika dalam melakukan penyembelihan. Maksudnya penyembelihan tersebut tidak menambahkan seksa binatang seperti menggunakan mata pisau yang tajam bagi menpercepatkan kematian serta menyembelih pada tempat yang tidak terlalu menyakitkannya. Bahkan seelok-eloknya janganlah mengasah mata pisau di hadapan binatang tersebut serta tidak menyembelih di hadapan binatang lain dan tidak menyembelih binatang yang sedang bunting atau yang sedang menyusukan anak. Selepas siap disembelih, janganlah segera melapah daging binatang tersebut melainkan telah pasti bahawa ia benar-benar telah mati.
iii) Ihsan dalam Islam jelas membuktikan tentang nilai perasaan kasih sayang yang perlu ada pada seseorang Islam di mana perasaan ini memberikan pengaruh yang besar dalam pembentukan jiwa manusia.


zakaria


Jangan Sampai Bosan
Hadith :
Berkata Abu wail r.a katanya:”Abdullah (bin Umar) mengajar suatu jamaah tiap-tiap hari Khamis. Seorang lelaki berkata:”Hai Abu Abdul Rahman! Saya mengharap supaya kamu dapat mengajar kami setiap hari.” Jawab Abdullah:”Saya khuatir jikalau kamu semua menjadi bosan. Saya memilih waktu yang baik sebagaimana juga nabi memilih waktu yang baik untuk kami belajar, menjaga supaya kami tidak bosan.”

(al-Bukhari)



zakaria

Rasulullah Tidak Memberatkan Umatnya



Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w solat malam di kamarnya, padahal dinding kamar itu rendah (pendek) sehingga orang lain dapat melihat baginda. Kerana itu mereka solat sepertimana baginda. Setelah hari pagi, mereka memperkatakan hal itu. Malam keduanya, nabi solat lagi. Orang lain pun solat juga seperti baginda. Mereka lakukan hal seperti itu dua atau tiga malam dan sesudah itu baginda solat sambil duduk dan tidak keluar. Ketika hari telah Subuh, orang ramai menanyakan hal tersebut kepada baginda. Jawab baginda:”Aku takut kalau-kalau kamu menganggap solat malam itu wajib.”

(al-Bukhari)

zakaria

Ilmu, Iman Dan Amal



Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.”

(Bukhari)



Huraian
Tarbiyah (pendidikan) yang semestinya dilalui oleh setiap muslim cukup banyak. Berbagai tarbiyah yang telah dilalui oleh para sahabat Rasulullah s.a.w sehingga menjadikan mereka memiliki iman yang teguh, bahkan membentuk mereka menjadi generasi terbaik. Allah berfirman: "Dan sesungguhnya jika mereka melaksanakan nasihat yang diberikan kepada mereka, tentulah hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (hati mereka di atas kebenaran)." (An Nisa : 66) Maka mempelajari ilmu agama adalah termasuk medan jihad yang paling mulia di mana daripada ilmu tersebut seseorang itu dapat berdakwah (menyebarkannya) kepada orang lain yang sekaligus menjadikan imannya semakin kukuh dan bertambah. Dia menyuruh manusia melakukan perkara–perkara kebaikan dan melarang daripada melakukan perkara kejahatan (maksiat) dalam ertikata bahawa ia bukanlah ulama’ bisu yang berlepas diri daripada apa yang berlaku di sekelilingnya sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: "Di antara manusia, ada orang yang menjadi kunci kebaikan dan penutup kejahatan." (Ibnu Majah) Orang seperti ini juga sentiasa bergaul dengan para ulama’ untuk mendengarkan nasihat mereka. Inilah sifat orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang dipelajarinya dan dengan itu mereka mendapat pahala di dunia dan balasan yang baik di akhirat.

zakaria

Syurga Yang Didambakan



Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya:”Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab baginda:”Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.”

(al-Bukhari)



Huraian
Dunia ini adalah kerajaan Allah SWT. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah. Manusia merupakan khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah. Hidup ini merupakan pemberian Allah dan kematian pula adalah qadar atau ukuran dari Allah. Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah, dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan Rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri dari pengajaran Allah dan Rasul-Nya. Maka manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia yang fana dan penuh cabaran ini hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara keduanya yang seterusnya menyampaikan mereka ke suatu tempat sama ada ke syurga atau ke neraka.


zakaria

Dasar Kerja Orang Bekerja



Hadith :
Dari Imran r.a katanya, s:aya bertanya:”Ya Rasulullah, apa dasar kerja orang yang bekerja?” Baginda menjawab;”Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu.”

(al-Bukhari)



Huraian
Manusia adalah makhluk yang bekerja. Bahkan manusia tidak akan mendapatkan suatu apa pun kecuali apa yang diusahakannya sendiri. Oleh itu tidaklah menghairankan jika kita juga sering mendengar bahawa masuk syurga atau neraka itu sangat ditentukan oleh amal atau perbuatan seseorang, pekerjaannya atau usahanya ketika di dunia. Aspek-aspek kerja dalam Islam sesungguhnya terkandung dalam bentuk yang sangat luas mencakupi seluruh kehidupan itu sendiri, ia bersifat fizikal, intelektual dan juga spiritual. Apa yang ditekankan oleh Islam ialah supaya kita bekerja atau berusaha untuk kebaikan dan dengan cara yang baik kerana orang yang beriman dan bekerja dengan baik, Allah S.W.T akan memberinya kehidupan yang baik. Sesungguhnya kerja dengan amal mempunyai terjemahan yang sama di dalam Islam meskipun masyarakat mengenalinya dari sudut yang berbeza. Amal seringkali diberi makna pada tindakan atau kerja kebajikan sedangkan kerja dikategorikan pada tindakan manusia yang menghasilkan upah atau gaji dalam bentuk wang mahupun material dan sebagainya yang bersifat ekonomi untuk menjaga kelangsungan hidup bagi diri sendiri atau orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya. Dalam Islam, dasar kerja atau amal adalah niat yang akan membezakan sama ada sesuatu tindakan itu berupa kebajikan atau tidak dan Allah menegaskan bahawa adalah menjadi satu kewajiban kepada kita untuk melakukan yang terbaik dalam memikul amanah dan tanggungjawab kerana Allah tidak akan memberatkan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukannya. Oleh sebab itu seseorang itu dikurniakan Allah kelebihan yang tersendiri dan untuk itu dia akan dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah mahir (tahu) tentang sesuatu.

zakaria

Perniagaan Yang Berkat



Hadith :
Dari Hakim bin Hizam r.a dari nabi s.a.w sabdanya:”Dua orang yang berjual beli, masing-masing mempunyai hak untuk memilih (untuk meneruskan jual beli atau tidak) selama kedua-duanya belum berpisah. Jika keduanya berlaku jujur dan berterus terang menjelaskan (keadaan barang yang dijual belikan), maka mereka diberi berkat dengan jual beli mereka; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (kecacatan masing-masing), hilanglah berkat jual beli mereka.”

(Muslim)

zakaria

Kelayakan Untuk Meminta



Hadith :
Dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a katanya,:”Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w meminta bantuan kepada baginda untuk membayarnya. Jawab baginda,:”Tunggulah hingga orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh serahkan kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya, “Hai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan:

1) Orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya langsai. Apabila hutangnya telah selesai, maka tidak boleh lagi dia meminta-minta.

2) Orang yang ditimpa bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak bagi dirinya.

3) Orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta hingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak. Selain tiga golongan tersebut , haram baginya meminta-minta dan haram pula baginya memakan hasil perbuatan meminta-minta itu.”

(Muslim)

zakaria

Panduan Bagi Orang Yang Diuji



Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”

Riwayat Ibn Abi Dunya



Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.
ii) Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah s.a.w menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).
iii) Imam al-Ghazali pula berkata:” Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.”
iv) Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.

zakaria

About this blog