Selamat Datang

Moga Allah rahmati kita semua.

Hadith'

Nabi Muhammad SAW apabila ingin baring atau tidur, Baginda akan meletakkan tangan kanan di bawah pipinya sambil berkata " Ya Allah hindarilah aku daripada azabMu di hari Kau membangkitkan hamba-hambaMu."

Inside of Blue Mosque

The Blue Mosque (Called Sultanahmet Camii in Turkish) is an historical mosque in Istanbul. The mosque is known as the Blue Mosque because of blue tiles surrounding the walls of interior design.Mosque was built between 1609 and 1616 years, during the rule of Ahmed I.

Doa Nabi Muhammad SAW

Himpunan doa-doa terbaik .

Surah Al Kafirun

Bacaan apabila hendak masuk tidur.

Dugaan Menghapuskan Dosa



Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.”

(Muslim)



Huraian
Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

zakaria

Bila Ajal Telah Tiba



Hadith :
Daripada Mathar bin ‘Akamis dan Abu Azzah katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah telah memutuskan bagi seseorang hamba-Nya bahawa ia akan mati di satu bumi (tempat) nescaya Allah menjadikan sesuatu hajat baginya di tempat itu.”

Diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Tirmidzi, rujuk Sahih sunan at-Tirmidzi 2249-1745



Huraian
Kematian itu tidak semestinya disebabkan oleh penyakit. Dengan perkataan lain, walau bagaimana hebat sekalipun kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya kerana ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalan raya malah banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia. Justeru setiap Muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Kita juga wajib percaya kepada Qadha’ dan Qadar Allah SWT dan segala ketentuan-Nya kerana kita tidak mengetahui bila dan di mana kita menemui ajal.

zakaria

Bulan Safar Bawa Sial?




Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah SAW bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?”

al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad



Huraian
Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam. Di dalam bulan ini masih ada sesetengah individu dalam masyarakat Islam yang melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang nyata bertentangan dengan syariat. Contohnya ialah upacara Mandi Safar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Apabila tiba bulan Safar, mereka yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan kepercayaan perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Selain daripada itu kepercayaan orang-orang tua juga tidak menggalakkan majlis perkahwinan diadakan dalam bulan Safar ini kerana mereka percaya bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam dan sesiapa yang masih berpegang padanya akan rosak akidahnya. Sebenarnya nahas atau bala bencana tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut ini dilarang keras oleh Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 51 yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) :“Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

zakaria

Lima Kunci Rahsia



Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:”Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.

(Bukhari)



Huraian
Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahu pun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan. Firman Allah yang bermaksud:” "Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." (al-Kahfi :109)

zakaria

Sifat-sifat Terkutuk Yahudi



Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jika ada sepuluh orang Yahudi beriman dengan ku, tidak akan tinggal di atas bumi seorang Yahudi pun melainkan ia memeluk Islam.”

al-Bukhari dan Ibnu ad-Dhirris



Huraian
Orang-orang Yahudi adalah terkenal dengan sifat sombong, angkuh dan keras hati. Mereka tidak akan ‘pernah’ redha dengan umat Islam sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka (yang telah terpesong itu).” (al-Baqarah: 120) Ahli agama mereka selalu menyembunyikan kebenaran seperti yang disebut dalam al-Quran maksudnya: "Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan al-Kitab mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahui (salahnya perbuatan tersebut)." (al Baqarah: 146) Dengan perkataan lain, mereka menyembunyikan sifat-sifat nabi SAW yang ada dalam kitab mereka daripada pengetahuan manusia padahal mereka mengetahui akan hakikatnya. Begitu juga mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Di kalangan orang Yahudi ini ada yang pernah menyihir Nabi SAW bernama Lubaid bin al- A'som dari Bani Zuraiq." Seorang wanita Yahudi juga pernah mengkhianati Nabi SAW dengan menghidangkan daging kambing beracun. Hingga membunuh sekalipun bukanlah perkara asing dalam sejarah umat Yahudi. Sejak dahulu lagi bangsa Yahudi tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita walhal Nabi dan Rasul. Mereka akan membunuh siapa sahaja tanpa perasaan belas kasihan dan simpati. Contohnya Nabi Zakaria dan Nabi Yahya telah dibunuh oleh mereka dan mereka juga menyangka bahawa mereka telah berjaya membunuh Nabi Isa. Tetapi sebenarnya tidak. Betapa sungguh zalim dan keji sifat Bani Israel ini. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka ‘menderhaka’ dan ‘selalu menceroboh.’ ” (al-Maidah :78)

zakaria

Isteri Sujud Kepada Suami!




Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.”

Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi



Huraian
Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa..”
Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersamanya. Dalam keluarga, suami adalah seperti imam dengan makmum yang merupakan orang yang paling utama untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Bahkan kejayaan hanya akan terbukti apabila dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap isteri dan anak-anak hingga menjadi isteri dan anak-anak yang baik dan beriman. Suami yang bertanggungjawab seperti inilah yang wajib ditaati hatta boleh sampai ke tahap disembah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas.
Namun hari ini mungkin hanya sedikit dalam kalangan lelaki bergelar suami yang layak dikategorikan seperti di dalam hadis di atas lantaran banyak sekali pengabaian tanggungjawab yang dilakukan oleh mereka. Bahkan tidak dinafikan banyak sekali kes-kes ‘kaki suami’ yang hinggap di pundak isteri mahupun anak-anak tanpa sebarang perasaan belas kasihan. Selalu benar seorang suami itu cenderung kepada mencari kesalahan isterinya sedangkan hak isteri tidak dipenuhi.
Isteri yang solehah dan taatkan suami hanya akan terhasil jika suami juga seorang yang soleh dan bertanggungjawab. Malah mana mungkin suami mengharapkan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu mereka berikhtiar mendidik isteri dan anak dengan cara yang betul? Inilah punca terjadinya suami mahupun isteri berlaku curang dan sebagainya. Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan dengan konsep ‘ketam berjalan’ yang menjadi amalan kebanyakan kita. ‘Walk your talk’, itulah kunci kejayaan di dalam memimpin sebuah rumah tangga yang bertakwa.
zakaria

Keutamaan Membaca Surah Al-baqarah



Hadith :
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”

Riwayat Muslim



Huraian
Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80 “Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal”. Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya.
Islam mengajarkan kita tata cara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu membanyakkan membaca surat Al Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Bacalah surat al- Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah” Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia. Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib. Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah! Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya. Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan? Ketahuilah bahawa syaitan sekali-kali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.

zakaria

Hidup Untuk Bahagia Atau Hidup Untuk Celaka



Hadith :
Dari Abu malik al-Asy’ari katanya:”Bersabda Rasulullah s.a.w:”Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi. Sembahyang itu pelita. Sedekah itu bakti. Sabar itu cahaya dan al-Quran itu akan menjadi kawan atau lawanmu. Manusia sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya.”


(Muslim)



Huraian
Kemakmuran dan kesejahteraan itu boleh sahaja diperolehi dengan berbagai cara, termasuk dengan cara membelakangi nilai-nilai ugama. Namun begitu kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai ugama tidak akan dapat bertahan lama kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat dan apa pun jua yang ketandusan berkat tidak akan dapat menghasilkan kebahagiaan sejati. Oleh itu Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berpegang pada jalan yang betul dan berbuat sesuatu yang benar-benar bertepatan dengan kehendak syarak sama ada ia merupakan perkara wajib ataupun sunat. Ini disebabkan manusia itu sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya iaitulah bergantung pada keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T dalam setiap apa yang dilakukannya itu. Jika itu perkara yang baik insyaAllah ia akan selamat dunia dan akhirat tetapi jika sebaliknya lambat laun ia akan mendapat pembalasan dan kecelakaan sama ada di dunia atau pun di akhirat kelak.

zakaria

Seperti Ayam Mematuk Padi!



Hadith :
Anas r.a bercerita katanya:” Nabi SAW pernah memendekkan solat beliau, tetapi beliau melakukannya dengan sempurna.”

(Bukhari)



Huraian
Ketika solat, selain melibatkan gerakan fizikal, ia juga melibatkan roh kita. Roh inilah yang sebenarnya diperlukan dalam solat kerana ketika itulah ia kembali menemui Tuhannya. Manakala fizikal kita hanyalah sebagai pengantara. Sedangkan rohlah yang menghayati bacaan tersebut. Justeru orang yang memahami tujuan solat yang sebenar tentunya mahukan solatnya itu berjalan dengan tenang, santai dan ada toma’ninah. Bukan solat seperti ribut atau laksana ayam mematuk padi sehingga roh selalu tertinggal ke belakang. Dengan perkataan lain, mulut kita secara spontan membaca bacaan, namun fikiran kita melayang entah ke mana. Tiba-tiba solat kita telah pun siap dan kita pun memberikan salam. Hakikatnya bersolat adalah masa untuk kita berdialog dengan Allah secara langsung. Kita sebenarnya diberi kesempatan untuk mengadu. Maka sewaktu solat adukanlah semua persoalan kita kepada Allah. Roh kita akan dapat merasakannya Contohnya hati kita terasa sebak dan air mata akan menitis dengan sendirinya. Namun jika kita bersolat secara cepat dan terkocoh-kocoh mungkin roh tidak sempat menikmati pertemuan dengan Allah ini. Kita akan merasakan bahawa solat itu satu bebanan yang menyusahkan sekali gus menjadikan kita bersolat secara terpaksa!

zakaria

Dunia Sebagai Tempat Berdagang




Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang dinegeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan. “Ibnu Umar r.a. berkata,” Jika kamu berada diwaktu petang janganlah kamu tangguh diwaktu pagi dan jika kamu berada diwaktu pagi janganlah kamu tangguh diwaktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada didalam keadaan sihat, sebagai persediaan diwaktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati”.

al-Bukhari



Huraian
1. Umat Islam dikehendaki segera melakukan amal kebajikan semasa hidup didunia ini dan dunia umpama tempat berdagang untuk menuju ke satu destinasi lain (akhirat).
2. Islam menyuruh umatnya supaya melakukan ibadat dan amal-amal kebajikan dengan sebanyak-banyaknya di waktu muda dan ketika sihat sebagai bekalan hari tua dan bekalan akhirat.
3. Islam melarang umatnya yang suka menangguh-nangguh amalan kebajikan dan ibadat kerana sifat demikian merugikan diri seseorang.

zakaria

Taubat



Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.”


Riwayat Bukhari & Muslim



Huraian
Pengajaran hadis:
i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.
ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.
iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.
b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T.
c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa.
d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.
e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.


zakaria

Adab Dalam Meminang

Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, Nabi SAW bersabda:”Jangan kamu beli barang yang sedang ditawar oleh saudaramu; jangan kamu pinang wanita yang sedang dipinang saudaramu, melainkan apabila telah diizinkannya.”


(Muslim)



Huraian
1. Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj (Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu).
2. Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat / perundangan-perundangan dalam Islam. Hikmahnya adalah untuk memberi peluang untuk berkenalan dengan pasangan masing-masing sebelum bernikah atau berkahwin.
3. Hukum khitbah adalah "harus" tetapi mengikut Imam As-Syafie (sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah "al-istihbab / sunat". Dan Dr. Abd. Karim Zaidan (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat iaitu lebih aula utama dari hukum harus tadi.
4. Khitbah adalah dilarang bagi seseorang wanita yang telah dipinang oleh orang lain. Begitu juga dilarang membeli barang yang sedang dalam urusan jual beli orang lain. Hal ini adalah untuk menjaga kehormatan dan mengelak daripada berlaku perebutan dan pergaduhan selain daripada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.


zakaria

Hormatilah Ibu Sekalipun Berlainan Agama

Hadith :
Dari Asma’ binti Abu Bakar r.a katanya:”Ketika terjadi genjatan senjata dengan kaum Quraisy, ibuku yang ketika itu masih musyrik datang kepadaku. Lalu aku meminta izin Rasulullah SAW dengan berkata:”Ya Rasulullah! Ibuku datang kerana beliau rindu padaku. Bolehkah aku menemuinya?”Jawab Rasulullah SAW,”Ya boleh! Berjumpalah dengan ibumu.”

(Muslim)



Huraian
1. Di dalam Islam SUAMI dan IBU mempunyai kuasa yang besar. Kuasa suami ke atas isteri dan kuasa ibu ke atas anak-anak. Seseorang itu akan dimurkai Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi.
2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Syurga itu di bawah tapak kaki ibu". Oleh itu anak-anak harus menumpahkan kasih sayang kepada orang tua mereka sekalipun mereka kafir dan ingkar terhadap Allah. Hal ini disebabkan ibu bapa adalah berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak.
3. Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka yang beragama Islam dalam urusan hidup yang tidak bertentangan dengan Islam. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar tetapi haruslah menasihati mereka dengan baik dan sopan.
zakaria

Diharuskan Menangis Kepada Orang Yang Meninggal Dunia

Hadith :
Daripada ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas’ud r.a, kemudian Rasulullah s.a.w. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, “Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya”.

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
1. Bersedih dan menangis kerana kematian seseorang yang dikasihi diharuskan oleh syarak dengan syarat ia tidak melampaui batas seperti meratapi serta meraung-raung dan sebagainya.
2. Penyeksaan atau rahmat terhadap orang mati bergantung kepada amalan lidah orang yang masih hidup di mana apabila lidah tersebut digunakan untuk memperkatakan kebaikan si mati ia akan mendatangkan kebaikan kepada si mati.
3. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk memperkatakan kejahatan si mati atau memperkatakan kebaikan tetapi dengan cara yang tidak beradab ia akan mendatangkan keburukkan kepada si mati.

zakaria

Pelunasan Hak Di Padang Mahsyar

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a katanya:”Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:”Sesungguhnya sebarang hak tak dapat tidak mesti dibayar kepada tuannya sehingga kambing biri-biri yang dogol (tidak bertanduk) diberikan peluang membalas kambing biri-biri yang bertanduk” ‘Iaitu menanduknya’ mengikut satu riwayat.”

Muslim dan at-Tirmidzi



Huraian
1.Beriman kepada Hari Kiamat adalah antara perkara yang
termasuk di dalam rukun Iman dan wajib diyakini sepenuhnya oleh
setiap Muslim.

2.Perbicaraan yang berlaku pada hari kiamat adalah menyentuh
tentang semua aspek kehidupan makhluk semasa di dunia termasuk
perkara-perkara berkenaan hak yang meliputi:

i. Perkara yang bersabit dengan perlakuan jenayah ke atas
nyawa dan tubuh badan seperti bunuh-membunuh, tikam-
menikam, pukul memukul, siksa menyiksa dan sebagainya.
ii. Perkara yang bersabit dengan perlakuan jenayah yang
mencemar kehormatan diri dan maruah seseorang seperti caci
mencaci, memaki hamun, mengumpat, tuduh-menuduh dan
sebagainya.
iii. Perkara yang bersabit dengan harta benda seperti mencuri,
merompak, menipu, hutang-piutang dan seumpamanya.

3.Oleh itu bagi sesiapa yang mempunyai kesalah-kesalahan yang
disebutkan akan menerima pembalasan yang seadilnya daripada
Allah SWT. Antara balasannya adalah:
i. Menerima balasan daripada makhluk yang diperlakukan jenayah
terhadapnya.
ii. Memberikan amal kebajikan kepada orang yang dianiayakan
untuk membayar hutang orang yang dihutanginya atau memberi
gantirugi dan sekiranya tiada lagi saki baki amalan yang
tinggal untuk diberikan maka seseorang itu akan terpaksa
menanggung hutang kesalahan orang yang dikhianati itu.
iii. Dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.

4.Sebagai mukmin yang beriman kita hendaklah sentiasa berwaspada
dalam setiap tindak tanduk di dunia dan sentiasa bermuhasabah,
bertaubat memohon keampunan agar apabila meninggal kelak kita
tidak termasuk di kalangan orang yang rugi.
zakaria

Khairun Nisa’

Hadith :
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :”Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.”

Riwayat Muslim



Huraian
Seorang isteri melihat kebahagiaan sebagai matlamat unggul dalam kehidupan berkeluarga. Ia tidak boleh diukur tetapi dapat dirasai. Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya. Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: "Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."(Surah an-Nisaa' ayat 34).
Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam. Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa. Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis. Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga. Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing. Mudah-mudahan jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan rumah tangga pada hari ini dapat dijawab.
(Sumber: Himpunan Hadis-hadis Sahih/ Sahih al-Jami’ as-Saghir 3299, Silsilatul-Ahadith as-Sahihati 1838)
zakaria

Di Atas Hamparan Sejadah



Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya."

Abu Huraiarah r.a



Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T.
ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya.
iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.
zakaria

Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis

Hadith :
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “ “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat.”

Riwayat al-Bukhari



Huraian
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya. Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Allah Melaknat Orang Yang Makan Riba

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya.”


Riwayat Ahmad dan Abu Daud



Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Mencari rezeki merupakan sebahagian daripada ibadah. Begitu juga sebaliknya. Agihan kekayaan yang tidak seimbang akan menjadi punca terjadinya segala jenayah berbentuk korupsi.
ii) Di antara rezeki yang haram menurut pandangan Islam ialah rasuah, makan harta anak yatim tanpa hak, mencari rezeki dengan meminta-minta, riba, perdagangan benda yang memabukkan, perjudian, penipuan dalam timbangan, menjual barang rosak dan barang tiruan.
iii) Riba yang dari segi istilah bermaksud ‘az ziadah’ (tambahan) iaitu tambahan di atas modal sama ada sedikit atau pun banyak (beban bunga) di mana ia adalah termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar kerana ia merupakan pemerasan orang kaya terhadap orang miskin yang membuatkan orang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah melarat.
iv) Pemakan riba akan mendapat hukuman yang berat sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :“Orang memakan riba atau mengambilnya, ia tidak dapat berdiri (hidup) melainkan keadaan seperti orang yang dirasuk syaitan atau macam orang gila (kehilangan akal)” al-Baqarah : 275) Dalam surah dan ayat yang sama juga selanjutnya Allah berfirman bahawa orang yang mengulangi memakan riba setelah ia mengetahui hukumnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.
v) Semasa peristiwa Isra' dan Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ditunjukkan bagaimana seorang yang berenang dalam sungai darah. Setiap kali orang berkenaan menghampiri tebing, dia telah dilontar dengan batu. Penjelasan yang diberikan oleh malaikat ialah orang ini sewaktu di dunia adalah pemakan riba.
vi) Sistem riba adalah sistem yang buruk dari segi ekonomi. Oleh itu untuk menghindari dari kemungkinan terlibat ke dalam riba yang dilarang oleh Islam, (walaupun batas-batas yang dianggap riba masih diperselisihkan di kalangan para ulama) jalan yang paling selamat adalah melakukan muamalah berdasarkan ajaran lslam sama ada secara mudharabah, musyarakah, murabahah atau wadi'ah.
vii) Riba lawannya sedekah kerana sedekah merupakan kerelaan memberikan harta benda tanpa mengharapkan imbalan dan balasan. Sedangkan riba, ia menuntut kembali wang yang dipinjamkannya bersekali dengan bunganya yang dikaut daripada penat jerih orang yang meminjamnya.

About this blog